Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi persoal keberadaan pemimpin PAS di Kangar, bukan di KKB
Diterbitkan:  Apr 28, 2024 7:30 AM
Dikemaskini: Apr 28, 2024 2:16 AM

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil membangkitkan persoalan mengenai keberadaan pemimpin-pemimpin utama PAS di Perlis berbanding di Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Fahmi berkata perkara itu dilihat agak 'menarik' namun beliau sendiri tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin PAS untuk tidak berada di Kuala Kubu Baharu khususnya pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu, semalam.

"Saya lihat pimpinan utama PAS semua berada di Perlis sekali dengan saya. Saya tak pastilah apa maksudnya bila mereka tidak ada bersama di Kuala Kubu Bharu dan apapun, saya sendiri telah hadir baru-baru ini," katanya.

Semalam, Fahmi yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Perlis, menghadiri Program Jiwa MADANI di Kampung Seberang Ramai di Kuala Perlis.

Difahamkan, PAS menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka peringkat pusat parti itu di Dewan 2020, Kangar semalam dari 11 pagi hingga 2 petang.

Antara yang hadir pada program itu ialah Mursyidul Am Datuk Hashim Jasin, Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata calon Kerajaan Perpaduan iaitu Pang Sock Tao dilihat memiliki peluang cerah untuk memenangi PRK itu.

PRK itu menyaksikan Pang daripada DAP akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

- Bernama

Lihat Komen
ADS