Kontroversi mengenai kuota perumahan 50 peratus bagi bumiputera di Kedah telah selesai, kata pemimpin DAP, Lim Kit Siang.
"Saya telah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen semalam dan saya difahamkan bahawa tiada perubahan dalam peratusan kuota perumahan di negeri itu.
"Diharapkan, perkara ini boleh diperjelas dan diselesaikan tanpa memanjangkan lagi kontroversi tersebut" tambahnya dalam satu kenyataan.
Lim juga berkata beliau bersedia untuk menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Alor Star berhubung perkara itu.
Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat di kedah telah meningkatkan kuota tersebut dari 30 peratus kepada 50 peratus, berkuatkuasa 1 September lalu bagi projek perumahan baru di negeri itu.
Azizan dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan meminta syarikat-syarikat kaitan kerajaan supaya membina rumah yang mampu dibeli rakyat Kedah, sekiranya pemaju swasta tidak bersedia berbuat demikian.
DAP, MCA bantah
Berikutan itu, DAP dan MCA telah menyuarakan bantahan mereka berhubung perkara tersebut.
Antara lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun dari MCA, Dr Leong Yong Kong mengingatkan bahawa langkah tersebut akan menjejaskan industri perumahan dan yang berkaitan dengannya di negeri itu kerana ia akan menjejas teruk ekonomi di negeri itu.
Beliau dilaporkan berkata syarat baru itu akan menyebabkan pemaju swasta tidak berminat untuk melaksanakan projek perumahan baru.
Malah, kata Leong, dengan kuota 30 peratus sekarang pun, pemaju perumahan menghadapi masalah untuk menjual unit yang dibina.
Beliau menyarankan agar kerajaan negeri menjalankan kajian untuk mengetahui mengapa orang Melayu tidak boleh membeli rumah atau rumah kedai yang dibina oleh pemaju perumahan swasta.
"Ia kemudian perlu mencari penyelesaian untuk membantu mereka dan bukannya meningkatkan kuota perumahan tersebut," tambahnya.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites